TIPS UNTUK SI DIA YANG TAK MINUM SUSU & BAGAIMANA NAK UBAHNYA?

Dari kecil lagi kita memang minum susu, maklumlah susu ini baik untuk pembangunan otak dan tulang. Masa kecil dulu, tiada siapa pun yang terkecuali, semua memang akan diberikan susu. Tetapi, kenapa apabila dewasa, ada sesetengah orang yang tidak lagi boleh minum susu? Apabila minum susu, mereka akan kata; tekak berasa loyalah, tidak sukalah, susu berbaulah dan macam-macam lagi. Sebenarnya, kalau hendak diikutkan, dulu kita memang suka minum susu, siap meminta-mintanya lagi. Kalau tidak dapat, mulalah akan menangis. Agaknya mereka yang tidak boleh minum susu itu, mungkin disebabkan pengalaman pahit minum susu hamis, disebabkan pilihannya sendiri untuk menjadi ‘pemilih’ atau sebab lain? Tiada siapa lebih tahu berbanding tuan punya badan. Tetapi jangan risau kerana setiap perkara itu boleh diubah jika kita benar-benar mahukannya, jadi jangan kita mudah berputus asa!

 

Hari ini saya ingin kongsikan tips-tips yang boleh dicuba bagi mereka yang tidak boleh minum susu tapi ingin minum susu. Walaupun tips ini mungkin kelihatan ringkas, tetapi apa yang penting dalam mencuba sesuatu perkara adalah ‘mindset’ yang kuat untuk berubah. Jika anda seorang yang boleh minum susu atau lebih baik lagi, memang sukakan susu, anda memang seorang yang bertuah kerana amalan minum susu ini memang memberi banyak kebaikan dalam pelbagai aspek tidak kira kesihatan, kecantikan, emosi dan pembangunan otak.

 

Amalan minum susu mestilah diamalkan walaupun sudah dewasa kerana susu memberikan banyak kebaikan dan fungsi yang berbeza-beza kepada setiap peringkat umur. Yang pasti, khasiat susu ini membantu dalam gaya pemakanan sihat, tinggi dengan nutrien dan dapat membantu kurangkan berat badan.

Berikut merupakan tips yang harus dicuba kepada sesiapa yang ‘tidak minum susu’ supaya anda boleh membuang ‘mindset’ tersebut:

 

Jangan berkata tidak kepada susu

 

Kita mestilah sentiasa berfikiran positif. Apabila kita positif dan mahu mencuba, sudah pasti lambat-laun kita akan mencapai apa yang diimpikan itu. Sekiranya kita sudah mengatakan ‘Tidak’, ‘Tidak boleh’, atau ‘No’ kepada sesuatu sebelum mencubanya, otak kita secara automatik akan menghalang pemikiran dan semangat kita, menjadikan kita seorang yang takut untuk mencuba sesuatu yang baru. Ini adalah tindakan yang kurang bijak kerana tiada siapa dapat meramal masa depan dan oleh sebab itu, kita mestilah sentiasa mencuba supaya kita dapat menjadi contoh yang baik kepada generasi muda.

 

Apabila seorang ibu bapa mengatakan “Saya tidak minum susu”, apakah kesannya kepada anak kecil yang mendengarnya? Pasti dia merasakan bahawa susu itu tidak penting untuk diminum walaupun sebenarnya susu memiliki khasiat yang baik untuk kekal sihat sepanjang hayat. Sekiranya anda tidak minum susu kerana rasa loya dan sebagainya, anda boleh mencuba resipi lain supaya tekak anda berjinak-jinak dengan rasa susu.

Pilih susu yang tidak hamis

 

Kebanyakan orang mengatakan mereka tidak minum susu kerana pengalaman minum susu yang hamis. Pengalaman minum susu yang memberikan rasa ataupun bau yang tidak menyenangkan mungkin akan menahan diri anda daripada mencubanya lagi, tetapi ini tidak bermaksud anda tidak perlu mengamalkannya langsung atau merasakan semua jenis susu adalah sama dan berbau hamis.

Untuk mengatasi masalah jenis ini, anda hendaklah bijak dalam memilih susu dan mencari susu yang tidak hamis dan mempunyai rasa yang sedap supaya tekak anda boleh menerimanya.

 

Minum susu sejuk

 

Sebagai langkah permulaan, minum susu yang sejuk dapat membantu anda kerana susu sejuk lebih mudah ditelan dan berasa ringan di tekak. Lebih sejuk susu itu, semakin sedap rasanya. Susu memang penting untuk kekuatan tulang, kerana kita tidak mahu apabila kita mencecah umur 30-an ke atas, kita sudah tidak larat hendak naik tangga. Jadi, semua mestilah mencari jalan alternatif untuk mengubah ‘mindset’ “Aku tidak minum susu”.

 

Pilih susu yang sedap

 

Terdapat banyak pilihan susu di pasaran. Pilihlah susu yang rasanya sedap dan tidak berlemak untuk menjamin kebaikan yang sepenuhnya kepada badan. Jika anda tidak boleh minum kambing susu segar, anda boleh memilih susu yang diproses kerana susu ini telah dikaji terlebih dahulu untuk memberikan rasa yang sedap, nutrien dan zat kandungan yang tertinggi, bersih dan membuang bau yang tidak menyenangkan pada susu.

 

Jadi kreatif dengan resipi susu anda

 

Bagi mereka yang loya dan tidak boleh menelan susu sahaja, anda boleh menjadi kreatif dan membina resipi susu kesukaan anda sendiri. Anda boleh mencampur bahan-bahan lain seperti buah-buahan, manisan, kacang, perisa dan macam-macam lagi kepada susu mengikut citarasa anda. Selain itu, anda juga boleh melihat idea-idea menarik makanan yang dibuat berasaskan susu di Internet.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *