POKET AKU KERING

Aliff nak kfc, tapi poket aku kering. Berdosanya aku…
Selamat pagi semua sahabat. Apa yang sahabat kerap fikirkan? Jawapannya tentu macam-macamkan. Ada yang kerap fikir tentang kekayaan, kenaikan pangkat dan gaji. Ada juga yang sedang fikirkan masalah yang sedang membatu di bahu. Yang amat-amat berat sehingga tidak berdaya untuk menanggungnya…
Dalam suasana ekonomi yang amat layu,  saya pasti ramai antara kita yang turut terasa tempiasnya. Siang tadi, saya sempat berborak dengan seorang ibu, di sebuah kedai buku sekolah. Puan Hanis namanya… Dia menegur saya dulu kerana melihat saya kalut membeli banyak buku. Maklumlah… adik iparku mengirim buku anak-anaknya sekali.
“Terima kasih, sebab tolong akak angkat buku-buku ni. Banyak sebab beli untuk anak buah sekali. Puan beli buku untuk tahun berapa?” Aku bertanya..
“Tahun lima, tiga dan dua kak. Ramai anak saya ni. Memang seronok kak anak ramai ni. Tapi macam ni lah. Bila sekolah nak buka je, haru. Apa yang boleh dikorek, koreklah sedalam-dalamnya. Apa yang boleh digadai kak, pun saya akan gadai. Nak buat macam mana kak…”
Saya hanya menganggukkan kepala. Rezeki tu puan. “Insyaallah nanti anak-anak puan boleh berjaya…”
“Saya ni kak, tiap-tiap bulan pening. Tak tau nak berjimat macam mana. Hari-hari dah goreng telur dan buat sambal sardin. Nak beli ikan pun tak mampu kak. Tengok harga ikan pun saya takut. Kadang-kadang rasa ‘malu’ kat ikan sebab tak mampu beli. Yang saya mampu, tengok je kak…”
“Saya malas nak komen puan. Nak menjerit dan memberontak pun tak guna. Harga barang memang mahal. Ekonomi pula lesu. Kita sabar-sabar je puan. Berjimat-jimat untuk teruskan hidup ni.” Ujarku dengan nada yang kecewa juga sebenarnya.
“Saya ni kak… makan sehari sekali pun tak apa. Asalkan anak-anak saya cukup makan dan pakai. Bila tengok anak-anak makan, saya tau makanan untuk mereka tak sihat. Asyik-asyik telur… lepas tu sardin… tapi saya tak ada pilihan. Suami saya peon je kak. Anak nak makan kfc pun, saya tak mampu nak bayar. Saya rasa hina sangat jadi ibu macam ni kak. Rasa berdosa kat anak-anak.”
Tersentuh hati saya waktu tu. Saya ‘hilang ingatan’ untuk seketika. Rasa hiba yang keterlaluan waktu itu. Saya juga pernah mengalami masalah yang sama. Saya rasa, ada juga sahabat mengalami kisah yang sama seperti saya dan Puan Hanis.
Itulah lumrah kehidupan. Walaupun kita selalu bahagia, tetapi akan ada di celah-celah kehidupan, satu perkara yang menyebabkan hati kita terusik.
Salam penuh barakah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *